KUALA TERENGGANU – Sekolah Kebangsaan (SK) Kemasik, Kemaman menjadi satu-satu sekolah sekolah di Terengganu yang terpaksa ditutup ekoran banjir gelombang pertama melanda negeri ini sejak kelmarin.
Pengarah Pendidikan Terengganu, Jelani Sulong berkata, penutupan tersebut disebabkan sebahagian bilik darjah sekolah terbabit dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir.
“Pengurusan SK Kemasik telah mengambil cuti bencana selama tiga hari sehingga hari ini.
“Sebuah lagi sekolah iaitu SK Teluk Kalong, Kemaman yang turut dijadikan PPS sebelum ini pula tidak terjejas sesi persekolahannya kerana tidak banyak kelas digunakan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Jelani berkata, setakat ini, tiada lagi sekolah di Terengganu yang ditenggelami bah ekoran banjir gelombang pertama terbabit. – KOSMO! ONLINE