fbpx

Pemilik ‘homestay’ minta pelanggan kemas rumah sebelum ‘check out’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Seorang wanita meluahkan rasa geram apabila secara tiba-tiba menerima pesanan WhatsApp daripada pemilik inap desa (homestay) yang meminta pelanggan untuk memastikan rumah ditinggalkan dalam keadaan kemas sebelum daftar keluar (check out).

Wanita yang menggunakan akaun Facebook @MummyHanaa berkata, Sabtu lalu dia dan keluarga seramai lima orang bermalam di sebuah inap desa di Port Dickson, Negeri Sembilan selepas menghadiri majlis kahwin di sana.

Katanya, segala proses tempahan dan pendaftaran masuk berjalan seperti biasa dan tiada sebarang syarat diberikan oleh pemilik selain hanya menetapkan waktu daftar masuk pada pukul 3 petang dan keluar 12 tengah hari.

“Tak puasa hati betul, kita kalut (kelam-kabut) nak ‘check out’ (daftar keluar), ‘owner’ (pemilik) sibuk minta itu minta ini. Siap minta kami kemas rumah sebelum keluar. Sudah tu bayar sampai RM350 semalam untuk apa? Tak akan untung atas angin sahaja.

“Ini masih boleh bersabar, kalau tak sabar memang post (muat naik) gambar ‘homestay’ (inap desa) dia siap nombor telefon kalau ada nak kenal-kenal,” luahnya dalam satu hantaran.

Perkongsian wanita itu turut menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai dan rata-ratanya turut terkejut dengan pendedahan tersebut.

“Ini kes nak mudahkan pemilik untuk tak perlu kemas rumah. Kalau dapat kat aku, memang satu rumah aku jadikan tongkang pecah,” kata Zarul.

“Mudahnya kerja dia, nak berniaga, tapi malas dan kedekut nak upah orang kemas rumah,” perli Munirah.

Sementara itu, seorang pengguna lain turut berkongsi pengalamannya berdepan dengan pemilik inap desa yang meletakkan pelbagai syarat mengarut kepada pelanggan.

“Pernah kena juga, tuan rumah siap arahkan kami (pelanggan) untuk letak tuala dekat mana, pastikan setiap barang dalam rumah diletakkan tempat asal, sampah rumah jangan tinggalkan, teruk kan?

“Siap pesan jangan bising selepas pukul 11 malam, serupa pergi kem dah, hilang mood (keseronokan) nak bercuti,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI