fbpx

Rekod jualan SimeDarby Property tertinggi dalam sejarah syarikat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sime Darby optimis sektor hartanah untuk tahun hadapan semakin berkembang dan memberi kesan positif kepada prestasi kewangan syarikat.

PETALING JAYA – Sime Darby Property Berhad (Sime Darby Property) mencatatkan prestasi sembilan bulan terbaik sehingga kini bagi tempoh berakhir 30 September 2024 (9M TK2024).

 Syarikat melaporkan peningkatan 35 peratus  dalam pendapatan kepada RM3.3 bilion, manakala keuntungan operasi meningkat 51 peratus kepada RM729.5 juta. 

Keuntungan sebelum cukai (PBT) melonjak 45 peratus  kepada RM636.8 juta, dan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) meningkat 50 peratus  kepada RM413.8 juta. 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, prestasi kewangan  yang kukuh itu didorong oleh momentum jualan yang kuat merentasi campuran produk yang pelbagai, peningkatan kerja-kerja pembinaan yang lebih baik dalam segmen pembangunan hartanah (PD) serta sumbangan pendapatan yang semakin meningkat daripada segmen pengurusan pelaburan dan aset (IAM) dan libur. 

Menurut beliau, jualan bagi tempoh ini meningkat kepada RM3.2 bilion, mewakili peningkatan 25 peratus  mencapai 91 peratus daripada sasaran jualan TK2024 sebanyak RM3.5 bilion. 

Pencapaian ini juga menandakan prestasi jualan sembilan bulan tertinggi dalam sejarah syarikat. 

“Keputusan kukuh 9M TK2024 kami menunjukkan pertumbuhan yang didorong sebahagian besarnya oleh segmen pembangunan hartanah. 

“Kepelbagaian strategik campuran produk kami digabungkan dengan sumbangan kukuh daripada perbandaran utama serta mengekalkan margin untung kasar (GP) yang sihat sebanyak 33 peratus, adalah penting untuk prestasi ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.

Azmir menjelaskan, segmen PD mencapai pendapatan sembilan bulannya yang tertinggi iaitu ia  melepasi RM3 bilion buat kali pertama dan mencecah RM3.1 bilion, yang merupakan peningkatan 36 peratus daripada  RM2.3 bilion. 

PBT segmen tersebut meningkat sebanyak 64 peratus kepada RM695.4 juta, didorong terutamanya oleh jualan yang kuat dan kemajuan kewangan merentasi perbandaran utama seperti Bandar Bukit Raja, Bandar Serenia, KLGCC Resort, Nilai Impian dan Elmina Business Park. 

Selain itu, subsegmen runcit merekodkan pertumbuhan positif, dengan KL East Mall mencapai peningkatan dalam kadar penghunian kepada 98.1 peratus pada 9M TK2024, meningkat daripada 89.2 peratus pada 9M TK2023. 

Elmina Lakeside Mall yang baru dibuka juga mula menyumbang kepada pendapatan, meningkatkan prospek segmen tersebut. 

Sementara itu, segmen perindustrian merupakan penyumbang utama sebanyak 32 peratus, bersamaan nilai kira-kira RM1 bilion. 

Ini diikuti rapat dengan kediaman bertingkat tinggi yang menyumbang 30 peratus daripada jumlah jualan, manakala segmen kediaman bertanah menyumbang 20 peratus. 

Segmen komersial menyumbang 14 peratus, dengan kira-kira RM431.1 juta dalam jualan, menandakan sumbangan tertinggi setakat ini untuk kategori ini. 

Mengulas mengenai prospek tahun ke hadapan, Azmir menerangkan,  pihaknya melihat prospek yang memberangsangkan untuk sektor hartanah, didorong oleh petunjuk ekonomi yang positif. 

“Syarikat berada pada landasan yang betul untuk mencapai sasaran jualan TK2024, disokong oleh jualan belum dibil sebanyak RM3.7 bilion dan rizab tunai yang kukuh. 

“Fokus berterusan kami untuk mempelbagaikan campuran produk dan memperluaskan aliran pendapatan berulang, selaras dengan strategi SHIFT25, memposisikan kami untuk pertumbuhan masa depan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI