IPOH – Jalan Persekutuan FT185 Simpang Pulai-Blue Valley (Cameron Highlands) Seksyen 42.70 akan dibuka kepada orang awam bermula 25 November ini sekiranya ia didapati selamat untuk digunakan.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sekiranya dibuka kelak, orang ramai boleh menggunakan laluan tersebut bermula pukul 7 malam sehingga 7 pagi.
“Kebenaran menggunakan laluan itu pada waktu malam adalah kerana kerja-kerja baik pulih dilaksanakan pihak berkaitan pada waktu siang,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau melawat lokasi tanah runtuh berkenaan dengan ketinggian runtuhan cerun direkodkan adalah 70 meter (m) dengan kelebaran sepanjang 100m.
Pada masa sama, menurut beliau, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) ketika ini sedang melaksanakan Skop Kerja Kecemasan di lokasi tanah runtuh yang berlaku pada 23 Oktober lalu sekitar pukul 8 pagi.
“Pihak JKR menjangkakan keseluruhan kerja sebagaimana dalam Skop Kerja Kecemasan akan siap pada hujung Disember depan manakala laluan kepada semua trafik bagi laluan tersebut dijangka akan dibuka semula pada 25 November.
“Berdasarkan siasatan dan kajian, Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) JKR mengesyorkan kerja pembaikan kekal dilaksana segera menggunakan kaedah kerja sama ada Soil Nailing dan Gunite atau Slope Reprofile, Soil Nailing Dan Hydroseeding atau Rockshed,” katanya.
Mengulas lanjut, Alexander berkata, kos pembaikan lokasi tanah runtuh berkenaan dijangka menelan belanja RM20 juta, dengan RM500,000 peruntukan dari kementeriannya telah digunakan untuk membersihkan kawasan terjejas berkenaan. – KOSMO! ONLINE