KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu percaya pelaksanaan hukuman sebat pesalah jenayah takzir di khalayak ramai mampu memberi pengajaran kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, ia bertujuan dapat mendorong orang ramai agar tidak melakukan kesalahan sama.
“Hari ini, Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail memutuskan hukuman (sebat) ke atas tertuduh yang mengaku salah berkhalwat berulang.
“Hukuman sebat kali ini diputuskan akan dijatuhkan di khalayak ramai atas bidang kuasa hakim mahkamah syariah,” katanya di sini, hari ini.
Abdul Khalil mengulas keputusan Mahkamah Syariah Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman enam kali sebatan terhadap Mohd. Affendi Awang, 42, yang didapati bersalah dalam kesalahan berkhalwat buat kali ketiga.
Tertuduh diperintah menjalani hukuman sebat itu di Masjid Al Muktafi Billah Shah, Ladang di sini selepas solat Jumaat pada 6 Disember depan.
Abdul Khalil berkata, keputusan tersebut merupakan perkembangan baharu kerana sebelum ini hukuman sebat terhadap pesalah jenayah takzir dilakukan secara tertutup.
Beliau menegaskan pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai di Terengganu tidak bertentangan dengan undang-undang dan hakim mahkamah syariah memiliki kuasa untuk melaksanakannya.
“Sekiranya tidak ada rayuan, maka ia akan dilaksanakan (sebatan di khalayak ramai),” katanya. – KOSMO! ONLINE