MUAR – Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala tujuh ahli keluarganya cedera dalam kemalangan tragis melibatkan dua huah kenderaan di Kilometer 148.1, Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd Farizan Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 1.59 tengah hari dengan kemalangan membabitkan treler dan kereta jenis Proton Iswara.
“Kereta itu dinaiki empat individu dewasa dan empat kanak-kanak, manakala treler pula dipandu oleh seorang lelaki. Seorang penumpang kereta iaitu kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia di lokasi.
“Mangsa-mangsa yang lain mengalami pelbagai kecederaan dan dikejarkan ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan, manakala pemandu treler tidak cedera. Punca kemalangan masih disiasat,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan tular video kejadian kemalangan membabitkan sebuah treler dan beberapa buah kenderaan di Kilometer 148 Lebuh Raya Utara Selatan arah selatan dari Bukit Gambir ke Pagoh hari ini.
Menerusi video berdurasi 38 saat itu, beberapa lelaki dewasa dan kanak-kanak kelihatan terbaring dengan kesan kecederaan di tepi lebuh raya berkenaan. – KOSMO! ONLINE