KLANG – Kegembiraan seorang lelaki yang baru menjadi bapa sejak empat bulan lalu tidak berpanjangan apabila dia maut selepas dihempap kontena di Pelabuhan Utara di sini semalam.
Kejadian pada pukul 8.26 pagi itu mengakibatkan Muhammad Alhafiz Abdul Rajak, 34, maut akibat cedera parah pada kepala.
Adik mangsa, Muhammad Raffi, 32, berkata, dia terkejut apabila menerima panggilan daripada pihak pengurusan sejam selepas kejadian berlaku.
“Saya difahamkan arwah sedang bertugas melihat kontena di lokasi kejadian.
“Saya bergegas ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan disahkan abang telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Ia merupakan kes ketiga kematian melibatkan kontena.
Kes pertama mengakibatkan seorang wanita, Lee Zi Rou, 21, maut selepas kereta jenis Perodua Bezza yang dia pandu dihempap kontena ketika sedang berhenti di lampu isyarat pada pukul 9.16 pagi 13 November lalu di Jalan Kebun Sireh, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Dua hari kemudian, seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi jenis Yamaha MT09 berusia 33 tahun meninggal dunia selepas merempuh kontena ‘terbang’ yang tertanggal dari sebuah treler di Kluang, Johor.
Menurut Muhammad Raffi, abangnya banyak berdiam diri dan sempat membeli bekalan makanan anaknya sebelum kejadian.
“Kali terakhir kami berjumpa ialah di rumah keluarga di Kampung Nelayan, Telok Gong, Pelabuhan Klang semalam (kelmarin).
“Saya tegur tapi dia hanya berdiam diri dan baring atas katil sebelum keluar kerja syif 12 tengah malam. Biasanya kami sembang sebab rapat dan tidak sangka ia petanda abang akan pergi buat selamanya,” katanya.
Ujar Muhammad Raffi, dia sekeluarga reda dengan pemergian anak sulung daripada tiga beradik itu.
“Arwah mempunyai seorang isteri yang juga suri rumah dan bayi lelaki berusia empat bulan,” ujarnya.
Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Telok Gong petang semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao mengesahkan kejadian itu.
“Polis menerima laporan mengenai kes lelaki dihempap kontena itu pukul 8.26 pagi.
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.