TOKYO – Peminat Dragon Ball hari ini meraikan usia 40 tahun komik manga Jepun, siri anime dan francais permainan video kegemaran global tersebut, beberapa bulan selepas kematian penciptanya, Akira Toriyama.
Manga asal Dragon Ball pertama kali dicetak pada 20 November 1984, menampilkan seorang budak lelaki bernama Son Goku yang mengumpulkan bola magis mengandungi naga untuk membantu melindungi Bumi.
Buku komik Dragon Ball sejak itu terjual lebih 260 juta salinan di Jepun dan seluruh dunia, demikian menurut syarikat percetakan Shueisha.
Toriyama meninggal dunia pada usia 68 tahun, Mac lalu akibat darah beku di dalam otak. Kematiannya mencetuskan kesedihan dalam kalangan peminat termasuk ucapan takziah daripada pemimpin-pemimpin dunia.
Bahagian pertama siri manga itu dijadikan anime untuk tayangan televisyen berjudul, Dragon Ball dalam tahun 1986. Diadaptasikan ke dalam pelbagai bahasa, siri anime itu menarik tontonan kanak-kanak kerana menampilkan adegan pertempuran yang hebat.
Adaptasi bahagian kedua manga tersebut yang diberi judul Dragon Ball Z menjadikan siri itu lebih popular lagi.
Filem, permainan video dan produk lain menyusul ketika francais itu bertukar menjadi fenomena global.
“Selamat hari lahir kepada Goku dan rakan-rakannya. Dan selamat jalan abadi kepada Akira Toriyama,” demikian menurut mesej dalam akaun X peminat anime, Catsuka yang memiliki 230,000 pengikut. – AFP