BENTONG – Seorang peniaga cendol menemui ajal selepas kereta yang dinaikinya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 164, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 di sini pagi ini.
Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, nahas pada pukul 7.18 pagi itu berlaku ketika mangsa, Siti Hajariah Zolkifli, 45, dalam perjalanan dari Bentong menghala ke Kuantan.
“Setibanya di lokasi, kereta jenis Honda City dinaiki mangsa terlanggar bahagian belakang lori yang sedang bergerak di hadapannya di lorong kiri.
“Akibat pelanggaran itu, kereta tersebut melintang di tengah jalan. Pada masa sama sebuah kereta jenis Toyota Vios dari belakang tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta dinaiki mangsa,” katanya di sini hari ini.
Ekoran pelanggaran itu, mangsa yang berada di tempat duduk penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala pemandu Honda City yang juga rakan si mati cedera di kepala.
Mayat mangsa dihantar ke Hospital Jengka untuk dibedah siasat. Mangsa yang cedera pula dibawa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh untuk rawatan lanjut.
Siasatan awal mendapati lokasi kejadian merupakan jalan lurus dan semasa kejadian cuaca baik selain permukaan kering.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE