PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru tiba dari Rio de Janeiro, Brazil melahirkan rasa teruja Malaysia diberi ruang di pelbagai platform antarabangsa.
Beliau yang tiba di Malaysia lewat pagi tadi memaklumkan, pendirian dan ketegasan negara malah berjaya dilontarkan dengan baik yang mencerminkan hasrat dan nurani rakyat.
“Tentunya ekonomi dan peluang pelaburan yang menjadi keutamaan terutamanya sebagai usaha bagi melonjak negara dan tahap kesejahteraan rakyat ke tahap yang membanggakan.
“Insya-Allah, kita akan terus bekerja dan tidak akan sesekali meremehkan harapan rakyat yang menggunung,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau ketika menghadiri Sidang Kemuncak G20 di Rio de Janeiro turut mengadakan pertemuan bersama beberapa pemimpin dunia.
Jelas Perdana Menteri, pertemuan itu turut dimanfaatkan oleh beliau untuk mengangkat nasib warga Palestin yang terus dibedil rejim Israel yang ganas dan biadab.
Tegas beliau, usaha itu namun tidak terhenti setakat itu, malah Malaysia akan terus memperhebatkan ‘ngauman’ agar keadilan terpacul dan hak asasi manusia kembali dihormati terutamanya di bumi Palestin.
“Terima kasih kepada semua yang hadir di Kompleks Bunga Raya dan juga yang ramai bersama di tapak Petronas.
“Dukungan rakyat akan sentiasa menyunting semangat untuk terus bersungguh mengejar kejayaan buat rakyat dan negara,” katanya.- KOSMO! ONLINE