JAKARTA – Kemenangan sulung Indonesia di pentas kelayakan Piala Dunia 2026 kelmarin kembali menghidupkan impian besar para penyokongnya untuk mencipta satu lagi sejarah baharu buat negara itu.
Pada aksi di Stadium Gelora Bung Karno, dua gol daripada pemain Oxford United, Marselino Ferdinan memastikan kejayaan 2-0 skuad Garuda ke atas Arab Saudi sekali gus memastikan mata keenam daripada lima perlawanan kempen kelayakan ketika ini.
Kemenangan itu juga membolehkan pengendali Indonesia, Shin Tae-yong menutup mulut pengkritiknya selepas dikecam hebat ekoran kekalahan 0-4 kepada Jepun pada Jumaat lalu.
“Saya bangga dengan pasukan dan negara saya. Marselino menjaringkan dua gol yang cukup hebat dan selepas itu kami berjaya bertahan dengan baik.
“Kami sedar ini adalah kemenangan penting buat kami sekali gus beri keyakinan untuk hadapi aksi selepas ini. Kedudukan kami dalam kumpulan juga tidak begitu jauh dengan pencabar lain,” kata penjaga gol Indonesia, Maarten Paes.
Aksi kelmarin juga bertambah ‘panas’ selepas pemain Indonesia, Justin Hubner dilayangkan kad merah di hujung permainan, namun pengendali Arab Saudi, Herve Renard terpaksa akur Indonesia lebih berhak untuk meraih kemenangan.
“Indonesia berhak untuk memenangi perlawanan ini. Kami masih ada empat perlawanan dan pastinya keadaan sekarang bertambah sukar buat semua orang,” kata Renard yang kembali dilantik mengisi kekosongan ditinggalkan Roberto Mancini.
Menariknya, kemenangan kali pertama Indonesia ke atas Arab Saudi itu dalam 14 pertemuan turut menarik perhatian peminat di seluruh dunia kerana juara dunia, Argentina pernah tewas di tangan Arab Saudi sewaktu aksi Piala Dunia Qatar 2022. – AGENSI