LANGKAWI – Seorang pemilik restoran didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal menyimpan resit dan menyenggara rekod jualan seperti dikehendaki Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Tertuduh, Asyuni Mastura Basri, 22, mengaku bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Hakim Allan Suman Pillai.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan, Asyuni yang merupakan pemilik premis di Jalan Pantai Chenang, di sini didakwa gagal menyimpan resit dan menyenggara rekod jualan dari Januari 2021 hingga 30 November 2023.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 53A(3) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, premis tersebut yang dimiliki tertuduh menjual masakan ayam goreng kunyit RM20 kepada orang awam sebelum kejadian tersebut tular di media sosial selepas dimuat naik pengadu pada 14 Januari lalu.
Selepas siasatan dibuat, tertuduh gagal mematuhi arahan pihak berkuasa yang dikeluarkan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 untuk mengemukakan invois jualan dan belian produk.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa KPDN, Mohamad Hezrin Abd Wahab, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE