MAESTRO muzik popular India yang juga pemenang Oscar, AR Rahman secara rasmi bercerai dengan isterinya, Saira Banu selepas 29 tahun hidup bersama.
Berita sedih itu dikongsikan peguam Saira, Vandana Shah yang menyatakan tekanan emosi, ketegangan dan kesukaran mencari titik persefahaman sebagai punca rumah tangga pasangan itu tidak mampu dipertahankan lagi.
Katanya, Saira mengambil keputusan itu dengan penuh ‘kesakitan dan keperitan’ selain memerlukan ruang sendiri tanpa sebarang gangguan untuk mengharungi tempoh sukar ini.
“Berikan mereka ruang untuk menempuhi detik sukar ini. Keputusan perpisahan ini bukan satu perkara mudah,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu Rahman, 57, menerusi aplikasi X mengakui bukan mudah mempertahankan perkahwinan yang hampir mencecah 30 tahun.
“Kami berharap segalanya akan baik. Tempoh 30 tahun itu satu jangka masa panjang, tetapi tiada siapa yang tahu bagaimana penghujungnya,” tulisnya.
Pasangan berkenaan disatukan sebagai suami isteri pada 1995 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Khatija, Raheema dan Ameen.
Menerusi satu temu bual, komposer Slumdog Millionaire itu mendedahkan perkahwinannya diatur ibunya yang menjadi bahagian penting dalam hidupnya dan Saira.
Rahman yang ketika itu sibuk dengan kerjaya hingga tiada masa mencari pasangan telah meminta ibunya mencari calon isteri bagi melengkapi hidupnya.
“Ketika itu saya berusia 29 tahun dan meminta ibu carikan saya isteri’,” katanya.
Sepanjang hidup berumah tangga, pasangan itu memilih untuk menjalani kehidupan sederhana dah jauh daripada publisiti media. – KOSMO! ONLINE