MELAKA – Sebuah syarikat pembekal minyak masak didenda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati menjual minyak masak melebihi had dibenarkan, tiga tahun lalu.
Hakim Azaraorni Abd. Rahman membuat ketetapan itu selepas menerima pengakuan salah Orang Kena Saman (OKS), Lesong Food Industries Sdn. Bhd. diwakili pengarahnya, Datuk Dr. Zaini Md. Taha, 46, sejurus pertuduhan pindaan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didakwa menjual 240 botol minyak masak seberat lima kilogram berjumlah 1,200 kilogram, melebihi had dibenarkan dalam syarat lesen syarikat Era Prestij Resources.
Kesalahan itu dilakukan di premis Lesong Food Industries Sdn. Bhd., Bandar Jasin Bestari dalam daerah Jasin pada 13 Ogos 2021.
Sabit kesalahan OKS boleh didenda maksimum RM2 juta dan bagi kesalahan kali kedua didenda tidak melebihi RM5 juta mengikut Seksyen 14 Akta Kawalan Bekalan dan boleh dihukum d bawah Seksyen 22(2) akta yang sama (Akta 122).
OKS yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum dengan alasan telah menutup operasi perniagaan di Melaka dan tiada wang membayar denda tinggi. Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM20,000. – KOSMO! ONLINE