SHAH ALAM – Seorang bekas guru sekolah rendah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 15 pertuduhan mengemukakan butiran palsu sijil cuti sakit (MC) pada 2019 hingga 2022.
Tertuduh, Khairiah Razali,49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.
Khairiah yang kini bertugas sebagai penolong pengarah di sebuah agensi kerajaan didakwa melakukan kesalahan itu ketika menjadi guru.
Wanita itu mengemukakan 19 keping sijil cuti sakit yang mengandungi butir matan palsu kepada guru besar sekolahnya bagi memperoleh kelulusan cuti sakit meskipun tidak mendapatkan rawatan di klinik terbabit.
Kesalahan itu dilakukan di pejabat sekolah tersebut di Puchong pada April 2019 sehingga Disember 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama yang membawa hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muaz Ahmad Khairuddin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan Khairiah dilepaskan dengan jaminan RM8,000 bersama seorang penjamin selain menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan selain tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 24 Januari 2025.- KOSMO! ONLINE