JOHOR BAHRU – Polis Johor membuat rampasan pelbagai jenis dadah yang bernilai RM125.8 juta selepas menahan 15 suspek dalam 16 serbuan yang dibuat di sekitar kawasan bandar raya ini pada Sabtu dan Ahad lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Razarudin Husain berkata, rampasan tersebut merupakan antara yang terbesar dalam Malaysia setakat ini.
Beliau berkata, dalam serbuan tersebut, JSJN Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor menahan 15 individu yang terdiri daripada lapan lelaki dan tujuh wanita berusia 17 hingga 62 tahun termasuk ketua sindiket yang berusia 30-an.
“Dalam serbuan ini, JSJN berjaya membongkar empat premis yang merupakan rumah sewa dijadikan dua stor dadah dan dua makmal haram disyaki sebagai makmal pemprosesan dadah jenis erimin 5.
“Sindiket ini dipercayai beroperasi sejak setahun yang lalu. Modus operandi kegiatan sindiket pengedaran dadah ini adalah dengan menyewa rumah untuk dijadikan story penyimpanan dan makmal memproses dadah,” katanya pada sidang akhbar di IPK Johor hari ini.
Hadir sama ialah Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Timbalan Pengarah (JSJN) Bukit Aman, Datuk Kamarulzaman Mamat.
Dalam serbuan tersebut, polis merampas 72.61 kilogram (kg) syabu, 12.81kg serbuk ekstasi, 5.44kg ganja, 3.72 juta biji pil eramin 5; 397,905 pil ekstasi, empat gram (g) heroin, 28g ketamin, 8.5kg jus manggo dan 969.15kg serbuk disyaki dadah.
Dalam serbuan sama, polis turut menyita enam mesin dan peralatan memproses dadah serta precursor.
Turut dirampas ialah 13 buah kereta mewah pelbagai jenama, sebuah motosikal jenis Kawasaki, wang tunai sebanyak RM2.28 juta, pelbagai wang mata asing bernilai RM284,000, jongkong emas seberat 1kg, empat utas jam tangan jenama rolex dan pelbagai jenis barang kemas dengan nilai keseluruhan RM5.43 juta.
Razarudin berkata, kesemua rampasan dadah ini dipercayai mampu menampung kegunaan seramai 5.4 juta orang penagih dadah.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula Ahad hingga Sabtu ini. – K! ONLINE