KOTA BHARU – Seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan yang ditahan bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Sungai Golok, Thailand pada 1 November lalu berkemungkinan dibebaskan dengan jaminan selepas mereka didakwa di mahkamah pada awal tahun depan.
Menurut sumber, penyanyi wanita yang berusia 29 tahun itu dan beberapa orang daripada lima suspek lain dijangka dibebaskan dengan jaminan selepas kes mereka dibicarakan di Mahkamah Wilayah Narathiwat.
Katanya, mengikut undang-undang di Thailand, enam suspek yang ditahan berkait kes dadah itu perlu menjalani tempoh tahanan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan di Penjara Narathiwat bermula 3 November lalu.
“Ada antara mereka dijangka didakwa atas kesalahan menghisap dadah selepas air kencing mereka didapati positif dan beberapa orang lagi suspek atas pertuduhan mengedar pil kuda.
“Bagaimanapun, beberapa orang suspek termasuk penyanyi wanita itu dijangka boleh dibebaskan dengan jaminan selepas didakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut sumber itu, jangkaan itu dibuat berdasarkan siasatan awal yang dijalankan oleh polis Thailand terhadap kes tersebut.
Kosmo! Online semalam melaporkan, siasatan kes melibatkan seorang penyanyi sohor Kelantan dan lima individu yang dicekup bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di sini pada 1 November lalu sudah hampir selesai.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kolonel Polis Jadsadavit Inprapan berkata, pihaknya ketika ini menunggu keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) cap jari keenam-enam suspek dan jenis kandungan dadah di dalam badan mereka menerusi ujian urin.
Menurutnya, pemeriksaan cap jari itu dilakukan untuk memastikan sama ada mereka pernah melakukan kesalahan melibatkan jenayah atau sebaliknya di Thailand.
“Selepas kesemua ujian dijalankan, polis akan membuat laporan penuh sebelum menyerahkan kesimpulan yang sudah dibuat kepada pihak pendakwa raya secepat mungkin.
“Setakat ini, keenam-enam suspek memberikan kerjasama yang baik sepanjang proses siasatan dijalankan,” katanya. – KOSMO! ONLINE