TAIPING – Polis masih memburu dua orang suspek yang masih bebas berhubung kes rogol secara berkumpulan di Selama pada April lalu.
Ketua Polis Daerah Selama, Superintendan Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang remaja perempuan berusia 15 tahun pada 8 November lalu yang mengatakan dirinya telah dirogol secara berkumpulan.
Menurut remaja itu, perbuatan itu dilakukan di sebuah bilik di pusat pembelian dan pengumpulan buah sawit di kawasan Redang Panjang di sini pada April lalu.
“Menurut keterangan, mangsa telah berkenalan dengan salah seorang suspek melalui aplikasi media sosial dan bersetuju untuk berjumpa dengan teman lelaki yang baru dikenalinya itu.
“Teman lelakinya telah mengambil mangsa sekitar pukul 1 pagi ketika ibu bapa mangsa tidur dan membawanya ke sebuah bilik di pusat pembelian dan pengumpulan sawit di tempat kerjanya di Redang Panjang.
“Selepas selesai mengadakan hubungan intim, rakan-rakan teman lelakinya telah masuk ke dalam bilik berkenaan dan merogol mangsa secara bergilir-gilir ,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
bertindak atas laporan itu, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Selama telah melakukan tangkapan ke atas lima suspek termasuk teman lelakinya yang berusia 18 hingga 26 tahun. – KOSMO! ONLINE