KOTA BHARU – Pasukan Gerakan Am (PGA) memasang sebanyak lima papan tanda amaran di sepanjang Sungai Golok dekat sini sebagai peringatan kepada orang ramai agar tidak menyeberang ke Thailand secara haram.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Ab. Hamid berkata, lokasi pemasangan papan tanda itu dipilih berdasarkan kawasan pangkalan haram yang paling aktif digunakan oleh orang awam untuk ke Thailand.
Menurutnya, pangkalan haram Syed Agil dan pangkalan haram MCA merupakan dua lokasi yang sudah dipasang papan tanda amaran di Rantau Panjang.
“Selain itu, pangkalan haram Jitong di Jeram Perdah di Pasir Mas dan pangkalan haram Tanjung di Pengkalan Kubor, Tumpat turut dipasang papan tanda.
“Jarak pemasangan papan tanda itu dianggarkan sejauh 41 kilometer bermula dari pangkalan haram Tanjung hingga ke pangkalan haram Syed Agil,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Papan tanda yang dipasang oleh PGA itu bertulis, mana-mana orang yang masuk atau keluar sempadan Malaysia-Thailand melalui pintu yang tidak diwartakan adalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 5 Akta 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 yang boleh didenda maksimum RM10,000 penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, polis melaksanakan operasi besar-besaran untuk menangkap rakyat tempatan yang pulang ke negara ini dari Thailand melalui pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok bermula 1 Disember depan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata, penguatkuasaan itu merupakan satu langkah untuk memperkasakan Seksyen 5(2) Akta Imigresen 1959/1963 iaitu menggunakan laluan yang tidak diwartakan untuk memasuki negara ini.
Menurutnya, justeru, rakyat Malaysia akan ditangkap semasa mereka menjejakkan kaki di negara ini selepas pulang dari Thailand melalui pangkalan haram. – KOSMO! ONLINE