SHAH ALAM – Bekalan air di tujuh empangan air Selangor boleh bertahan sehingga lebih enam bulan untuk keperluan penduduk di sekitar Lembah Klang.
Exco Infrastruktur dan Pertanian, Izham Hashim berkata, berdasarkan rekod paras air setakat 4 November lalu menunjukkan Empangan Sungai Batu merekodkan 96.89 peratus yang mampu bertahan selama 191 hari diikuti Empangan Tasik Subang sebanyak 94.18 peratus dengan bertahan 170 hari.
Selain itu, Empangan Sungai Semenyih (149 hari), Empangan Sungai Selangor (143 hari), Empangan Sungai Langat (132 hari) dan Empangan Klang Gates (92 hari) dan Empangan Sungai Tinggi (82 hari) dengan keseluruhannya berkadar simpanan antara 91.8 peratus hingga 98.51 peratus.
“Sementara untuk Takungan Air Pinggiran Sungai (ORS) Sungai Labu pula merekodkan 99.24 peratus simoanan yang mampu bertahan sehingga 66 hari tanpa menggunakan air sungai,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Nushi Mahfodz (PN – Semenyih) mengenai pengurusan air dan empangan di Selangor.
Izham merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah memaklumkan kerajaan negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) telah mengguna pakai teknologi terkini dalam mengesan pencemaran air mentah melalui pemantauan menggunakan Sistem Pemantauan Sungai (RMS) yang dipasang di beberapa lokasi di sungai utama.
Ujarnya, Air Selangor juga sedang meneroka penggunaan teknologi rawatan air terkini menerusi kecerdasan buatan (AI) bagi memantau, meramal dan mengesan kualiti sumber air mentah dari sungai sebelum dirawat di 34 loji rawatan air di negeri ini.
“Kerajaan negeri sentiasa terbuka dalam pemakaian AI, Internet of Thing (IoT), analitik lanjutan dan sensor jarak jauh dan yakin ia boleh membantu menjimatkan penggunaan air, mengurangkan kos serta menyumbang kepada kemampanan alam sekitar,” katanya. -KOSMO!ONLINE