KEMAMAN – Sepasukan anggota bomba bertindak pantas menyelamatkan lapan ekor kucing yang terperangkap di dalam rumahnya yang ditenggelami banjir di Perumahan Taman Rakyat Teluk Kalong di sini semalam.
Lima anggota bomba terbabit terpaksa mengharung banjir sejauh kira-kira 500 meter untuk membawa keluar kucing-kucing terbabit dengan menaiki bot.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Chukai, Mohd. Zailani Abdullah berkata, pihaknya telah menerima panggilan ke kecemasan daripada Ku Nurul Atiqah Ku Azmi, 36, untuk menyelamatkan lima kucing peliharaannya.
“Dia (Ku Nurul Atiqah) memohon bantuan kerana perlu meninggalkan kucing-kucing peliharaan sementara di rumah disebabkan menghantar anak-anaknya ke pusat pemindahan sementara (PPS) terlebih dahulu.
“Walaupun sudah meletakkan kucing-kucingnya di dalam sangkar dan di tempat tinggi, dia risau kerana rumahnya sudah ditenggelami banjir setinggi semeter,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE