PETALING JAYA – Mencanangkan penurunan harga lebih 10 peratus 20 barangan segar di pasaran dari Jun hingga Julai lalu umpama ‘bertelur sebiji riuh sekampung’
Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen berkata, antara barangan yang dicanangkan itu timun, kacang buncis, cili padi, kubis, anggur merah dan lada benggala.
“Berapa sangat boleh dijimatkan daripada penurunan harga barangan yang tidak menghadapi permintaan mendesak dan tidak dibeli dalam kuantiti banyak itu?
“Bagaimana dengan kenaikan harga 238 barangan lain dalam tempoh sama? Tidakkah impak kenaikan harganya jauh lebih besar berbanding 20 barangan yang turun harga tadi?,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ivone Low berkata, majoriti rakyat menghadapi tekanan hidup akibat kenaikan harga barangan, tetapi kenyataan menteri berkaitan kebudak-budakan.
Menurut beliau, formula ‘RM50 penuh 1 troli’ yang digembar-gemburkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 semakin jauh dari berjaya. – KOSMO! ONLINE