KUALA LUMPUR – Bukan senyuman kegembiraan sebaliknya sekadar bersapa mesra dengan rakan media.
Itu respons pelakon Diana Danielle berhubung penampilan ceria dengan senyuman tidak lekang di bibir sepanjang berada di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan bagi prosiding pengesahan rujuk dan prosiding pertama perceraian mereka hari ini.
Diana, 34, juga berharap, orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi dengan beranggapan senyuman tersebut adalah tanda kegembiraan untuk bercerai dengan suaminya yang juga pelakon, Farid Kamil.
“Bukan gembira tetapi disebabkan saya kenal rakan-rakan media, semua seperti kawan-kawan. Jadi saya senyumlah.
“Ini bukan momen yang gembira untuk sesiapa pun, tolong jangan salah faham,” katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.
Dalam pada itu, dia bagaimanapun masih dengan pendirian enggan berkongsi lanjut mengenai prosiding mahkamah yang berlangsung hari ini sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada peguam syarie yang mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kadir.
Sementara, Akberdin pula memberitahu mahkamah hari ini mengesahkan Farid dan Diana kembali rujuk sebagai suami isteri pada 31 Ogos tahun lalu.
Mahkamah seterusnya menetapkan 2 Disember depan sebagai tarikh untuk plaintif iaitu Diana menyediakan dokumen berkaitan sijil rujuk bagi meneruskan prosiding perceraian yang difailkan terhadap Farid.
Pada 4 November lalu, Akberdin berkata, Diana memfailkan cerai kerana tiada persefahaman dan shiqaq (perbalahan) berpanjangan.
Terdahulu, Diana mengejutkan ramai apabila mengumumkan akan memfailkan cerai buat kali kedua terhadap Farid dalam satu hantaran Instagramnya pada 28 Oktober lalu.
Bintang filem Imaginur itu turut memberi peringatan kepada Farid agar tidak memujuknya lagi selain jemu dengan janji yang tidak ditepati sebelum ini.
Farid bagaimanapun menegaskan dia masih menyayangi Diana dan anak-anak selain nekad mempertahankan rumah tangganya.
Pada 10 Mac tahun lalu, Diana pernah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari.
Farid dan Diana kemudiannya sah bercerai talak satu menerusi Google Meet pada 10 Ogos tahun lalu namun kembali rujuk sebulan kemudian.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 11, dan Nur Aurora, 9. – KOSMO! ONLINE