BEIJING – China mendedahkan model jet pejuang supersonik terbaharunya yang mampu menggugurkan bom dari angkasa lepas, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.
Pesawat misteri digelar White Emperor itu merupakan jet pejuang generasi keenam China yang menonjolkan kemajuan Beijing dalam teknologi aeroangkasa.
Jet pejuang angkasa lepas bersepadu itu boleh beraksi dalam kedua-dua altitud atmosfera dan pinggir angkasa lepas pada altitud 25,000 meter.
Model pesawat canggih itu dipamerkan sebagai sebahagian daripada Projek Nantianmen yang bercita-cita tinggi. Ia merupakan sebuah inisiatif penyelidikan untuk meneroka teknologi aeroangkasa di masa hadapan.
White Emperor juga dianggap tindak balas kepada program Penguasaan Udara Generasi Seterusnya Tentera Udara Amerika Syarikat (NGAD) yang dijangka mengukuhkan kehebatan dalam bidang pesawat tanpa pemandu. – AGENSI