PETALING JAYA – Hidangan nasi lemak kosong RM2 di sebuah kedai mencuri perhatian apabila ia hanya mengandungi nasi putih tanpa lauk atau sambal.
Menurut hantaran di TikTok oleh Nizam, pelanggan boleh menambah lauk secara ‘add-on’ dengan bayaran berasingan dalam lingkungan harga RM1 hingga RM5. Antara makanan yang boleh ditambah adalah telur rebus, sambal ikan bilis, sambal sotong dan sambal ayam.
Perkongsian ini mencetuskan reaksi positif daripada pengguna media sosial yang memuji pendekatan ini kerana memberi fleksibiliti kepada pelanggan untuk memilih lauk mengikut bajet dan citarasa masing-masing.
Malah, sistem ini juga dianggap praktikal untuk mengelakkan makanan mudah basi, terutamanya sambal yang perlu disediakan segar.
“Mungkin penjual taknak campur dengan sambal dan timun. Takut risiko basi. Jadi, dia buat asing-asing. RM2 tu dah kira berbaloi. Kena kira kos bahan mentah, tenaga, air dan elektrik,” ujar Cendawan.
“Bagi aku, okay je asing-asing. Masing-masing boleh ‘custom’ nak letak apa kat nasi lemak tu. Daripada membazir, ada yang tak makan timun lah, tak makan ikan bilis lah, kacang lah. Mungkin rasa mahal sebab nampak harga ‘per item’,” kata Chh.
“Mungkin dengan cara macam ni, nasi lemak tahan lebih lama dan tak basi sebab tak bercampur sambal dan telur,” tulis Sweet. – KOSMO! ONLINE