fbpx

Disko Sungai Golok ‘mesra’ dadah akan ditutup 5 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anirut ketika ditemui pemberita di Sungai Golok, Thailand.- Foto oleh KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

SUNGAI GOLOK, THAILAND – Pusat hiburan atau disko di negara ini yang didapati membenarkan pengunjung mengambil dadah semasa berhibur akan diarah tutup selama lima tahun.

Ketua Daerah Sungai Golok, Anirut Bua-On, berkata, tindakan undang-undang itu merupakan salah satu usaha pihak kerajaan untuk membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan penduduk tempatan dan pelancong.

Menurutnya, selain itu langkah itu bertujuan untuk mengikis tanggapan negatif yang selama ini terpalit terutamanya apabila pelancong datang berhibur ke Sungai Golok.

“Sekiranya ada pengunjung terlibat dadah, pengusaha pusat hiburan perlu terus melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan lanjut.

“Jika tiada laporan dibuat dan kita dapati ada pengunjung terlibat dadah, arahan penutupan premis selama lima tahun akan dikeluarkan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Mengulas lanjut, Anirut memberitahu, setiap premis hiburan di daerah ini hanya boleh beroperasi pada masa ditetapkan berdasarkan lesen sah yang telah dikeluarkan.

Katanya, selain itu, pemilik pusat hiburan turut dilarang mengadakan atau membenarkan persembahan berunsur lucah di premis mereka.

Keadaan sebuah disko yang menjadi tumpuan rakyat Malaysia untuk berhibur pada malam minggu di Sungai Golok, Thailand.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, lebih 30 buah disko yang terdapat di sekitar Sungai Golok, Narathiwat menjadi tumpuan ramai rakyat Malaysia terutama dari Kelantan untuk berhibur pada malam Jumaat dan Sabtu setiap minggu.

Daripada jumlah itu, terdapat tiga pub terbesar termasuk kelab malam Genting Hotel yang menjadi lokasi tangkapan enam rakyat Malaysia termasuk penyanyi wanita sohor dari Kelantan berkaitan kes pil kuda pada awal bulan ini.

Tinjauan Kosmo! di sekitar pekan Sungai Golok semalam mendapati, selain Genting Hotel, terdapat dua lagi kelab malam terkenal iaitu Marina Hotel dan Riviera selain berpuluh-puluh pub kecil yang menjadi tumpuan.

Disko-disko di Sungai Golok menjadi pilihan pelancong asing kerana suasana di dalam pub yang ‘happening’, boleh bergaul bebas antara lelaki dan wanita serta minum minuman keras yang dijual secara terbuka.

Pengarah Urusan Genting Hotel, Sompoch Hongkittiyanonta berkata, kebanyakan golongan muda dari Kelantan akan menginap dan berhibur di kelab malam hotel.

Menurutnya, Genting Discotheque adalah kelab malam paling selamat di Sungai Golok kerana pihak pengurusan sentiasa membuat pemeriksaan kepada semua pengunjung yang datang untuk berhibur.

“Pengunjung yang datang mesti berusia 20 tahun ke atas. Segala jenis dadah juga dilarang untuk dibawa masuk semasa mereka berhibur di sini. Kelab malam ini juga sering dipantau polis tempatan.

“Genting Discotheque mampu memuatkan seramai 300 pelanggan dalam satu-satu masa terutamanya pada malam minggu. Hampir 80 peratus pengunjung berhibur di sini datang dari Malaysia khususnya Kelantan,” katanya ketika ditemui di Genting Hotel di sini baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI