fbpx

Malaysian Tigress terlepas final ACT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MALAYSIA (jersi biru) telah berusaha sedaya upaya tetapi China ternyata berada dalam kelas tersendiri apabila menang 3-1 pada aksi separuh akhir ACT sebentar tadi. - AHF

KUALA LUMPUR – Harapan skuad hoki wanita negara untuk melakar sejarah mara ke final Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2024 terkubur selepas tewas 1-3 kepada gergasi Asia, China dalam aksi separuh akhir di Stadium Hoki Rajgir, India sebentar tadi.

Meskipun gagal ke final, Malaysian Tigress tetap mempamerkan peningkatan ketara sepanjang kejohanan dengan memberikan saingan sengit kepada China yang berada di ranking keenam dunia selain turut berstatus pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris 2024.

China meraih tiga gol menerusi Deng Qiuchan (m-10), Fan Yunxia (m-17) dan Tan Jinzhuang (m-23), manakala jaringan tunggal Malaysia dijaringkan oleh Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-36.

Ketua jurulatih skuad wanita negara, Nasihin Nubli Ibrahim tetap menghamburkan pujian kepada anak-anak buahnya atas usaha keras mereka.

“Pemain sudah berikan yang terbaik hari ini. Kita banyak menguasai bola dan memberi tekanan kepada China, sesuatu yang jarang kita lakukan sebelum ini. Ia membuktikan kita sudah berada di tahap yang lebih baik,” katanya selepas perlawanan.

Menurut Nasihin, perlawanan itu juga menunjukkan peningkatan dari segi strategi dan keyakinan pemain muda yang semakin menyerlah di pentas antarabangsa.

“Kredit saya berikan kepada semua pemain, termasuk pemain muda kerana telah bekerja keras dan menunjukkan bahawa kita sudah berada di tahap yang bagus untuk perlawanan akan datang.

“Untuk perlawanan esok, skuad akan bekerja keras untuk mendapatkan tempat podium dan saya rasa amat yakin dengan kebolehan barisan pemain,” tambahnya.

Skuad negara kini mengalihkan tumpuan kepada penentuan tempat ketiga yang akan berlangsung esok di mana mereka akan berusaha menamatkan edisi kali ini di atas podium. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI