PUTRAJAYA – Penggunaan ubat antibiotik secara tidak wajar atau berlebihan dijangka mengakibatkan ramai penduduk negara ini mengalami isu Kerintangan Antimikrob (AMR).
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, dianggarkan kira-kira 87,000 rakyat Malaysia mungkin maut akibat masalah AMR antara 2020 hingga 2030.
“Unjuran itu hasil kajian oleh Pejabat Rantau Pasifik Barat (WPRO) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) jika kita masih tidak peduli isu ini,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Minggu Kesedaran AMR Sedunia Peringkat Kebangsaan 2024 hari ini.
AMR disebabkan si pesakit sengaja mengambil antibiotik meskipun tidak perlu untuk kes jangkitan biasa atau tidak menghabiskan dos mengikut tempoh yang ditetapkan doktor.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, badan itu telah mengisytiharkan AMR sebagai antara 10 ancaman utama sehingga boleh menggugat Matlamat Pembangunan Mampan 2030.- KOSMO! ONLINE