KUALA LUMPUR – Seorang bapa tiri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan anak tiri lelakinya menggunakan alat senaman dumbel dua minggu lalu.
Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 42 tahun itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Siti Shakirah Mohtarudin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap anak lelaki tirinya berusia 17 tahun menggunakan alat senaman dumbel.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah unit kondominium di Jalan Putra di sini pukul 10 malam pada 9 November lalu yang didakwa
mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama seksyen 326A kanun sama.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nidzuwan Abd Latip tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan tidak boleh dijamin.
“Namun jika mahkamah mahu membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM18,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tidak mendekati mangsa atau saksi-saksi,” katanya.
Semasa prosiding peguam Minnie Chew yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guam hanya mempunyai pendapatan RM2,000 serta tanggungan isteri tidak bekerja dan dua anak masih belajar.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Hakim Siti Shakirah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti yang dimohon pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan 12 Disember ini bagi sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE