PETALING JAYA – Polis sedang mengesan suspek terbabit dengan kes pecah cermin kenderaan yang berlaku di Dataran Sunway, Kota Damansara, di sini, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian itu bermula pukul 9.04 malam sehingga 10.10 malam membabitkan lokasi yang sama.
“Kejadian dipercayai berlaku sekitar pukul 7 petang sehingga 8.30 malam. Terdapat barangan dicuri membabitkan dua unit komputer riba, satu tablet, powerbank, kad atm dan dokumen peribadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, anggaran kerugian adalah lebih kurang RM4,500 dan kejadian tersebut turut dikesan tular di media sosial.
Mengulas lanjut, Shahrulnizam berkata pihaknya sedang mengesan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini dipohon untuk tampil bagi membantu siasatan dan boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222,” katanya.-KOSMO! ONLINE.