PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyelamatkan dua wanita warganegara Bangladesh dijadikan mangsa eksploitasi seks oleh satu sindiket yang didalangi warga mereka sendiri.
Kegiatan berkenaan terbongkar selepas JIM menyerbu sebuah lokasi di sekitar Kuala Lumpur yang dijadikan sebagai pusat aktiviti seks warga asing dalam satu operasi khas dilaksana semalam.
JIM berkata, berdasarkan maklumat, pasukan operasi diatur gerak ke lokasi itu dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 36 tahun yang dipercayai sebagai ‘dalang utama’.
“Hasil serbuan, pasukan operasi turut menahan dua lelaki warganegara Bangladesh berusia 30 dan 39 tahun yang dipercayai sebagai ‘ahli sindiket’ dan seorang lelaki warganegara Bangladesh berusia 50 tahun yang merupakan pelanggan.
“Dua perempuan warganegara Bangladesh berusia 30 dan 34 tahun yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi seks diselamatkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujarnya, modus operandi sindiket adalah dengan membawa masuk wanita warganegara asing terutamanya daripada Bangladesh dan menjanjikan pekerjaan di Malaysia dengan bayaran gaji sebanyak RM2,000 sebulan.
Jelasnya, wanita warganegara asing yang baru tiba akan dibawa ke lokasi yang dijadikan tempat tinggal dan kemudian dibawa ke lokasi lain untuk menjalankan aktiviti seks.
“Mangsa dipaksa untuk bekerja dari pagi hingga ke tengah malam dengan melayani pelanggan warganegara asing yang diuruskan oleh sindiket.
“Mangsa tidak menerima sebarang bayaran dan hanya disediakan makan dan minum sahaja. Mangsa dipercayai dieksploitasi sejak sebulan yang lepas,” ujarnya.
JIM memaklumkan, operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenalpasti mangsa pemerdagangan orang dengan berpandukan National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.
JIM menegaskan, pihaknya akan meneruskan operasi penguatkuasaan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (AKTA 670). – KOSMO! ONLINE