WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengisytiharkan darurat bermula semalam sehingga selepas hari mengangkat sumpah presiden baharu, Joe Biden yang berlangsung pada 20 Januari hadapan di Washington, lapor saluran berita 9 News.
White House dalam satu kenyataan berkata, perintah darurat itu dikeluarkan selepas dicadangkan oleh Datuk Bandar Washington, Muriel Bowser susulan kejadian rusuhan di bangunan Capitol baru-baru ini.
“Hari ini (semalam) Presiden Donald Trump telah mengisytiharkan darurat di daerah Colombia dan mengarahkan pegawai Persekutuan untuk melaksanakan perintah berkenaan bermula 11 hingga 24 Januari 2021,” kata kenyataan tersebut.
Sementara itu, Bowser berkata, keputusan itu dibuat bagi membolehkan langkah keselamatan lebih ketat dapat dilaksanakan ketika majlis angkat sumpah Biden.
“Berikutan serangan terhadap bangunan Capitol yang berlaku baru-baru ini, pasukan perisik menjangkakan keadaan sama akan berlaku pada majlis angkat sumpah berkenaan.
“Pentadbiran daerah telah menilai semula persediaan dari segi aspek keselamatan terhadap majlis angkat sumpah tersebut termasuk mengarahkan Pengawal Kebangsaan DC untuk membantu menjaga keselamatan sehigga 24 Januari nanti,” katanya. – Agensi