KUALA LUMPUR – Seorang wanita nyaris maut selepas terjatuh dari tingkat dua sebuah apartmen di Jalan 1/55A, Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur memaklumkan, pihaknya terima panggilan kecemasan kejadian itu sekitar pukul 8.56 pagi tadi.
Katanya, seramai tujuh anggota serta dua jentera keluaran Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jalil digerakkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, terdapat seorang wanita dipercayai telah terjatuh dari tingkat dua bangunan.
“Mangsa berusia 30-an itu dilihat berada di atas bumbung tingkat bawah bangunan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba berjaya menurunkan mangsa lalu diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan patah kaki kiri,” katanya.-KOSMO! ONLINE.