SHAH ALAM – Kerajaan negeri akan menggunakan pendekatan atau strategi berbeza dalam memastikan tidak wujud lagi ajaran sesat dari pecahan Global Holding Sdn. Bhd. (GISBH).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini berikutan berdasarkan peralihan sebelum ini Al-Arqam telah menjadi Rufaqa dan kemudian GISBH walaupun telah melakukan proses istitabah selama 500 jam.
Justeru, tegas beliau, telah wujud tiga generasi ajaran sesat tersebut dengan anak-anak ahli GISBH yang diselamatkan sekiranya tidak pulihkan akidahnya akan muncul entiti keempat dari susur galur ajaran sesat yang sama.
“Mereka (pengikut Al-Arqam dan Rufaqa) bersetuju ikuti kursus istitabah dibawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) menerusi kursus wajib 500 jam sebelum kita yakin mereka mengisytiharkan taubat dan dibenarkan kembali kepada masyarakat.
“Namun, natijahnya selepas itu wujud permasalahan ini (GISBH). Jadi, kali ini kita kena melakukan strategi berbeza dan tidak boleh gunakan kaedah yang sama,” katanya pada sidang akhbar Pasukan Petugas Khas Pemulihan Anak-Anak GISBH, hari ini.
Beliau menegaskan, pihaknya bimbang kelompok keempat melibatkan anak-anak GISBH berusia bawah 17 tahun ini akan mengulangi permasalahan akidah atau kepercayaan telah diisyitharkan menyeleweng.
“Ini merupakan perkara yang saya rasakan kritikal kerana akan menentusahkan kewujudan atau keadaan mereka pada masa depan. Tujuan akhirnya adalah kita mahu pemulihan berkesan agar unsur-unsur (ajaran sesat) tidak berulang kembali,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Amirudin menjelaskan hasil soal selidik terhadap 176 anak-anak GISBH mendapati majoritinya tidak mempunyai masalah akidah yang kritikal.
“Soal selidik dibuat MAIS menerusi dua set soalan berkaitan itikad dan amalan untuk melihat tahap keparahan akidah anak-anak ini.
“(Hasilnya) hanya 10 peratus mempunyai masalah dalam itikad yang kritikal manakala 15 peratus mempunyai masalah amalan Islam yang kritikal. MAIS dan JAIS akan merancang pendekatan lebih interaktif dan sesuai dengan tahap perkembangan anak-anak ini terutama pemahaman rukun Islam dan Iman,” katanya. -KOSMO!ONLINE