JOHOR BAHRU – Graduan lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dari Institut Kemahiran Mara (IKM) berjaya mendapatkan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan (Kimia) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Malah, Mohd. Badrul Zaman Mohamad Yuneh, 38, memberitahu, dia berhasrat mencapai tahap akademik tertinggi dalam bidang kejuruteraan iaitu status Jurutera Profesional yang membawa gelaran Ir.
Bapa kepada lima cahaya mata itu bagaimanapun memberitahu, laluan buatnya menamatkan pengajian tidak semudah seperti dijangka kerana turut bekerja pada masa sama.
“Saya bekerja sebagai kontraktor di dalam bidang kejuruteraan minyak dan gas, dan dalam masa sama saya turut memandu teksi untuk menambah pendapatan.
“Namun saya nekad menyambung pengajian untuk meningkatkan ilmu dan kemahiran diri dalam bidang pekerjaan yang saya ceburi.
“InshaAllah, selepas genggam Ijazah Sarjana Muda ini, saya akan menyambung pengajian ke tahap Ijazah Sarjana dalam bidang sama, tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-68, di sini hari ini
Tambah Mohd. Badrul Zaman, dia mula menyambung pengajian sejak 2017 namun hanya berjaya menamatkannya tahun ini selepas berdepan beberapa kekangan termasuklah pandemik Covid-19.
“Sepanjang tempoh itu, lebih 10 kali saya berhasrat berhenti belajar, tetapi sokongan keluarga khususnya isteri, kakak serta rakan-rakan dan pensyarah, saya berjaya tamatkannya.
“Saya juga telah menubuhkan syarikat sendiri dalam bidang kejuruteraan bersama rakan kongsi yang dikenali sewaktu menyambung pengajian di UTM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE