KUALA SELANGOR – Sebuah kilang roti di kawasan perindustrian di Puncak Alam di sini, diserbu selepas disyaki melepaskan efluen minyak dan gris berlebihan ke dalam sistem pembentungan awam, hari ini.
Pengarah Unit Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Pengguna SPAN, Mohd. Fazil Ismail berkata, pemeriksaan ke atas kilang itu dijalankan hasil aduan daripada Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK) mengenai wujud pelepasan efluen terlarang.
Jelas beliau, pihaknya mendapati sisa diesel berada di saluran pembetungan sekitar kawasan premis itu dan pelepasan secara berlebihan menyebabkan ia tersumbat.
“Semakan IWK sebelum ini mendapati kilang itu dipercayai pernah mengeluarkan cecair berwarna putih yang mempunyai kesan minyak.
“Namun, siasatan tidak menunjukkan pelepasan cecair itu hari ini dan kami mengeluarkan notis pembersihan bagi tindakan lanjut premis berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas operasi itu.
Tambah beliau, pihaknya akan menghantar sampel air saluran itu kepada Jabatan Kimia Malaysia bagi analisis lanjut.
“SPAN mengeluarkan notis mengikut Seksyen 61(1)(B) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Peraturan 4(6), Peraturan -Peraturan Industri Air (Efluen Terlarang) 2021,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya turut menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah kilang simen di sekitar lokasi sama bagi menyiasat sama ada ia berpunca daripada kilang itu atau pun daripada industri berhampiran, – KOSMO! ONLINE