GEORGE TOWN – Punca kematian pelajar perempuan tingkatan dua yang maut terjatuh dari koridor tingkat lapan di sebuah sekolah menengah di Jelutong di sini semalam akibat jatuh dari tempat yang tinggi.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, keputusan tersebut diperoleh sejurus proses bedah siasat selesai dijalankan hari ini.
“Bedah siasat bermula pukul 9 pagi tadi dan doktor mengesahkan punca kematian pelajar terbabit adalah kecederaan pada bahagian kepala dan leher akibat jatuh dari tempat tinggi,” katanya di sini sebentar tadi.
Difahamkan, mayat pelajar perempuan terbabit sudah dituntut ahli keluarganya tadi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan polis menemui nota yang ditulis mangsa di lokasi kejadian, koridor sekolah berkenaan.
Mangsa meninggalkan nota yang mengatakan dia mengalami tekanan perasaan dalam mata pelajaran. – KOSMO! ONLINE