JOHOR BAHRU – Berdepan masalah pendengaran kronik sejak kecil tidak menghalang Nazihah Surati, 25, menggenggam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian Sains Komputer pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-68, hari ini.
Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia berbangga kerana dapat membuktikan golongan orang kurang upaya (OKU) sepertinya juga mampu berjaya dalam bidang akademik walaupun berdepan laluan lebih sukar berbanding individu normal.
“Antara cabaran saya hadapi termasuklah soal komunikasi, namun saya berterima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan kerana banyak membantu dan menyokong saya.
“Saya juga berharap lebih ramai lagi golongan OKU menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi bagi membuktikan kemampuan kita setanding individu lain. Kita perlu sentiasa memajukan diri,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Konvokesyen UTM ke-68, di sini hari ini.
Tambah bekas atlet tenpin boling mewakili Johor pada Kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) 2018 itu, dia kini bekerja sebagai penguji perisian komputer di sebuah bank di Kuala Lumpur, sejak dua bulan lalu.
“Saya memilih bidang perisian komputer ini kerana memang meminatinya, dan saya gembira kerana telah mendapat pekerjaan dalam bidang dipelajari.
“Saya juga telah mendapat tawaran menyambung pengajian peringkat lebih tinggi di UTM tetapi mahu bekerja dahulu mencari pengalaman, mungkin akan sambung dalam tempoh setahun lagi.
Majlis Konvokesyen UTM ke-68 menyaksikan seramai 7,499 graduan UTM menerima Ijazah Doktor Falsafah; Ijazah Sarjana; Ijazah Sarjana Muda; Diploma serta Diploma Eksekutif. – KOSMO! ONLINE