KUALA TERENGGANU – Kerajaan Persekutuan menyalurkan peruntukan RM11.27 juta sebagai persiapan banjir dalam musim tengkujuh tahun ini kepada kerajaan negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Hanafiah Mat berkata, peruntukan tersebut merangkumi peruntukan penyelenggaraan kolam takungan banjir, risiko banjir dan kecemasan luar jangka.
Beliau berkata, ia termasuk kerja-kerja menaiktaraf infrastruktur mekanikal dan elektrikal untuk kawalan banjir di semua lapan daerah di negeri ini
“Ketika ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu sentiasa memantau 132 stesen hidrologi dan 17 siren amaran banjir di seluruh negeri agar berfungsi dengan baik.
“Semua kerja selenggara sistem saliran termasuk kolam takungan, sistem perparitan, benteng juga telah dilakukan agar dapat berfungsi pada tahap optimum pada waktu puncak kelak,”
katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan lisan Azbi Salleh (Pas – Kuala Besut) berhubung persiapan kerajaan negeri Terenggau berdepan musim tengkujuh yang sudah bermula minggu lalu. – KOSMO! ONLINE