PETALING JAYA – Seorang pencipta kandungan YouTuber (YouTuber) dengan angkuh mencabar mana-mana individu yang berani menyantaunya sehingga mengalami muntah darah berserta paku.
Pemuda itu turut menawarkan hadiah lumayan iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard berserta wang tunai RM10,000 bagi mereka yang berjaya melakukan perkara tersebut.
Dia memaklumkan cabaran tersebut menerusi siaran langsung di YouTube baru-baru ini.
“Boleh buat aku muntah paku, aku beri Alphard, kurang ‘menggiurkan’ apa tawaran aku?,” katanya.
Pada masa sama, pemuda itu turut mendedahkan sebelum ini terdapat beberapa bomoh berjanji akan mengirimkan santau kepadanya yang mampu membuat dia sakit kepala, perut mengembung dan lumpuh.
“Kira-kira ada lapan orang yang ingin cuba menyantau saya.
“Yang pasti ada individu-individu ini mengakui dirinya orang sakti. Ada yang mengaku memiliki ilmu-ilmu tertentu dan ada yang mengaku kenal dengan bomoh-bomoh handal,” katanya.
Bagaimanapun, dia mendakwa sehingga kini, dirinya masih tidak mengalami sebarang kesan pelik walaupun sudah lebih 10 hari memuat naik perkongsian mengenai cabaran tersebut. – KOSMO! ONLINE