RIYADH – Ejen kepada Neymar, Pini Zahavi tampil menafikan khabar angin yang mendakwa bintang sensasi Al Hilal itu bakal kembali menyertai kelab lamanya, Santos di Brazil.
Menurut laporan pakar perpindahan Eropah, Fabrizio Romano, Zahavi menegaskan bahawa Neymar sangat gembira bersama gergasi Arab Saudi itu dan tidak ada sebarang rundingan untuk memindahkannya ke kelab lain.
“Tiada rundingan sedang dijalankan untuk Neymar meninggalkan Al Hilal. Dia mempunyai kontrak dan sangat gembira di sana,” kata Romano menerusi akaun Twitter rasminya.
Spekulasi tersebut turut mendapat perhatian seorang lagi pakar perpindahan terkenal Eropah, Cesar Luis Merlo yang menjelaskan hanya dua individu berhak bercakap tentang masa depan Neymar iaitu ayahnya dan Zahavi sendiri.
“Saya tidak tahu daripada mana khabar angin ini datang. Apa yang pasti, tiada persetujuan atau perbincangan antara Neymar dan Santos,” kata Merlo.
Khabar angin itu timbul selepas kekalahan 0-2 Santos kepada Club de Regatas Brazil (CRB) dalam aksi Serie B kelmarin.
Biarpun tewas tetapi ia langsung tidak menjejaskan peluang Santos untuk kembali ke kancah Serie A Brazil musim depan apabila sah bergelar juara Serie B meskipun masih mempunyai satu perlawanan sahaja lagi.
Ia sekali gus membangkitkan harapan para peminat untuk kembali melihat Neymar menyarung jersi Santos seperti dilakukannya dari 2009 hingga 2013 sebelum bekas kapten Brazil itu berhijrah menyertai Barcelona. – AGENSI