TUMPAT – Seorang ibu dan anaknya nyaris rentung selepas terperangkap di dalam bilik tidur rumah mereka di Kampung Telaga Lanas di sini yang terbakar dalam kejadian pada petang semalam.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.15 petang semasa Cik Nor Fadila Che Noh, 36, sedang menidurkan anaknya, Nur Farra Asya Airis Mohd. Azhari, 2, di dalam bilik tidur.
Suaminya, Mohd. Azhari Mohd. Amin, 40, berkata, ibunya, Lijah Salleh, 82, menyedari almari baju berhampiran bilik tidur terbakar sebelum menjerit meminta pertolongan.
“Saya menyimbah air ke arah almari itu, namun api terus marak sebelum merebak ke dalam bilik tidur. Api bertambah besar apabila ia menyambar kain yang dijadikan penghadang bahagian siling rumah.
“Keadaan itu menyebabkan isteri dan anak saya terperangkap di dalam bilik itu. Bahagian siling rumah yang terbakar juga jatuh ke atas katil dan menimpa isteri saya,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.
Menurutnya, dia kemudian menendang tingkap bilik sebelum berjaya mengeluarkan anak dan isterinya.
“Kebakaran itu mengakibatkan kami berlima dan seorang lagi anak yang pergi ke sekolah semasa kejadian tinggal sehelai sepinggang apabila semua harta benda musnah termasuk sebuah motosikal,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Zamri Omar berkata, 95 peratus bahagian rumah tersebut musnah dalam kejadian itu dan punca kebakaran masih dalam siasatan. – KOSMO! ONLINE