ISLAMABAD – Seramai lapan askar terbunuh dan tujuh anggota polis diculik dalam dua serangan berasingan di barat laut Pakistan, kata beberapa pegawai perisikan polis kepada AFP hari ini.
Seorang daripada mereka berkata, pertempuran semalam mengakibatkan lapan askar dan sembilan ‘militan’ terbunuh di kawasan Tirah dalam wilayah Khyber-Pakhtunkhwa.
Kumpulan Taliban Pakistan(TTP) mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan itu.
Dalam serangan berasingan juga di Khyber-Pakhtunkhwa, tujuh anggota polis telah diculik di sebuah pos pemeriksaan, kata seorang pegawai kanan polis.
“Penyerang-penyerang turut merampas senjata api anggota-anggota polis,” tambahnya.
Seorang pegawai polis lain, Muhammad Zia ud-Din mengesahkan kejadian itu.
Pakistan menyaksikan peningkatan serangan oleh TTP di sempadannya dengan Afghanistan.
TTP membunuh seramai 10 anggota polis pada 25 Oktober lalu. – AFP