KUALA LUMPUR – Seramai 170,751 individu dilepaskan daripada masalah bankrap menerusi inisiatif Dasar Peluang Kedua oleh Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, inisiatif itu membantu memperkasakan ekonomi golongan muda.
“Secara keseluruhannya sejak Mac 2023 sehingga September 2024, MdI berjaya melepaskan 170,751 orang bankrap. Merangkumi golongan muda berumur 40 tahun ke bawah dan hutang tidak melebihi RM200,000.
“Golongan orang muda yang dilepaskan daripada kebankrapan berpeluang memulakan kehidupan baharu,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Siti Aminah Aching (BN- Beaufort) mengenai jumlah penerima manfaat daripada Dasar Peluang Kedua berkenaan.
Azalina berkata, pelepasan daripada kebankrapan membuka peluang untuk golongan berkenaan menikmati perluasan peluang kerjaya.
Menurut beliau, ia termasuk dalam bidang profesional dan perniagaan bagi memperkasa ekonomi diri dan keluarga.
Dalam pada itu, katanya, golongan muda diseru mengambil peluang menyertai pelbagai program literasi kewangan seperti dianjurkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK)
Jelas beliau, memiliki pengetahuan kewangan yang kukuh dapat membantu mereka mengelak daripada keterhutangan yang serius. – KOSMO! ONLINE