fbpx

‘Beri kami gantian yang munasabah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hishamuddin Hashim (tiga kiri) ketika bercakap pada sidang akhbar mengenai keluarga pekebun kecil diarahkan keluar dari tanah yang diteroka di Megan Avenue, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/ KOSMO!

KUALA LUMPUR – Lebih 500 peneroka memohon tawaran gantian yang munasabah selepas tanah yang didakwa diusahakan mereka di sebuah daerah di Perak sejak 2006 ‘diserahkan’ kepada pihak lain.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, peneroka telah membuat permohonan kepada kerajaan negeri berhubung pemilikan tanah yang dianggarkan berkeluasan 1.214 hektar itu namun tidak mendapat maklum balas.

“Rata-rata peneroka ini merupakan warga emas dan tanah yang diusahakan mereka ini satu-satunya sumber kewangan untuk menyara ahli keluarga.

“Terdapat dalam kalangan mereka ini tinggal di atas tanah yang diusahakan itu, selepas dimusnahkan kemana mereka harus pergi?” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut beliau, terdapat perbincangan dilakukan antara pihak perbadanan dan ahli lembaga koperasi berhubung wang pampasan namun ia tidak munasabah dengan kerugian dialami peneroka.

“Dianggarkan setiap ahli koperasi akan dapat sekitar RM6,000 sahaja, ini sangat tidak berbaloi dengan kerugian tanah yang dimusnahkan malah tidak sampai sebulan pendapatan mereka.

“Seterusnya, mereka ada ditawarkan tanah keluasan sekitar 470 ekar namun di kawasan paya, kos-kos untuk mengusahakan tanaman di paya sangat tinggi, sepatutnya mereka kumpulkan dahulu tanah mana yang akan diberikan sebelum maklum kepada peneroka,” katanya.

Jelas beliau, seharusnya satu perbincangan yang sesuai diadakan antara pihak pemaju, perbadanan dan koperasi tersebut dalam mencari keputusan yang menang-menang.

“Sekiranya pemaju inginkan tanah ini, tawarkan tanah gantian yang berpatutan dan bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, seorang peneroka, Pak Tam menzahirkan perasaan sedih mengenangkan tanah yang dahulunya dianggap hutan kemudian diusahakan menjadi kebun sawit telah dimusnahkan.

“Saya teroka dulu masa tahun 2009, masa masuk dahulu hutan tebal, kemudia kita ratakan tanah semua RM1,500 untuk satu ekar. Saya usahakan lima ekar jadi boleh kira berapa modal dikeluarkan, belum kira anak sawit lagi.

“Saya sangat berduka dengan apa yang terjadi, perasaan ini dikongsi juga dengan rakan-rakan yang lain ketika sama-sama mengusahakan tanah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI