KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kepada Dewan Rakyat, Kerajaan Persekutuan tidak memberi elaun kepada mana-mana badan beruniform parti politik.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, pemberian elaun penugasan hanya diberi kepada sukarela yang berdaftar di bawah agensi kerajaan mengikut kadar ditetapkan di bawah akta dan peraturan agensi berkenaan.
Jelas beliau, agensi kerajaan yang mempunyai anggota sukarelawan dan diberikan elaun penugasan adalah daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).
“Kerajaan sentiasa mengalu-alukan pembabitan aktif semua pihak dalam menyertai aktiviti kesukarelawan dalam membentuk jati diri masyarakat yang mampan,” katanya menerusi jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) mengenai pemberian elaun kepada badan beruniform parti politik menggunakan peruntukan Kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Skuad Sabil, Mohd Razi Othman sebelum ini menepis dakwaan pasukan sukarelawan UMNO itu diberi elaun daripada kerajaan.
Beliau dipetik berkata, hanya ahli berdaftar dengan APM menerima elaun, bukan pasukan secara keseluruhan. – KOSMO! ONLINE