KUALA LUMPUR – Pintu masuk rasmi ke Malaysia ada 141, tetapi yang paling sibuk adalah Tambak Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiga perempat daripada kemasukan warga asing ke negara ini melalui dua pintu masuk utama itu.
“Ini menjelaskan kenapa ia menjadi sangat sesak. Untuk rekod, bagi tempoh 1 Januari tahun ini sehingga 31 Oktober, yang melalui bangunan Sultan Iskandar adalah 83.4 juta.
“Manakala yang melalui kompleks Sultan Abu Bakar adalah 34.5 juta dan trend peningkatannya adalah 17 peratus setiap tahun.
“Daripada angka itu mengesahkan bahawa purata setiap hari yang melalui laluan darat paling sibuk ini ialah 400,000 setiap hari,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Saifuddin Nasution berkata, terdapat 52 inisiatif jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang yang telah, sedang dan akan dilaksanakan.
Jelas beliau, inisiatif itu antaranya merangkumi aspek naik taraf infrastruktur dan kemudahan dan naik taraf Automated Check Point and Border System.
Dalam pada itu, katanya, bermula Januari hingga 31 Oktober lalu, seramai 32 juta pengembara memasuki Malaysia atas pelbagai tujuan.
“Daripada 32 juta ini, yang masuk melalui KLIA, yang sampai, adalah 8 juta. Rakyat Malaysia pula yang sampai melalui KLIA adalah 2.7 juta,” katanya. – KOSMO! ONLINE