BENTONG – Pembinaan pusat timbang sawit swasta di persimpangan Felda Kota Gelanggi 2 yang mendapat bantahan peneroka berlaku disebabkan pertindihan kuasa antara pihak Felda dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam pemberian lesen.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi dan Usahawan negeri, Datuk Amizar Abu Adam berkata, kerajaan negeri masih melakukan perbincangan dengan pengusaha dan agensi berkaitan berhubung pembinaan pusat timbang yang telah mendapat kelulusan daripada MPOB itu.
“Setakat ini kita telah menghubungi MPOB dan perkara ini sudah dibawa kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi dan saya juga telah menghubungi Menteri Perladangan dan komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani bahawa ada sedikit pertindihan kuasa antara Felda dan MPOB.
“Kita masih dalam perbincangan sebab mereka sudah dapat lesen dan buka, jadi untuk menghentikan operasi agak sukar, namun perbincangan sedang dilakukan agar kita susunkan bagaimana Felda dan pekebun-pekebun kecil (menjual sawit),”katanya dalam sidang akhbar pada Karnival Tanah Pahang 2024 peringkat daerah Bentong di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan kewujudan pusat timbang sawit swasta di persimpangan Kota Gelanggi berhampiran ladang sawit milik Felda, anak syarikat kerajaan negeri, Felcra dan ladang pekebun kecil menimbulkan tanda tanya dalam kalangan penduduk.
Kewujudan pusat itu dilihat tidak signifikan memandangkan peneroka Felda Kota Gelanggi 1, 2 dan 3 serta Felda Jengka 8 dan Jengka 10 menjual hasil kepada kilang Felda yang menyediakan resit kepada mereka.
Bagi anak syarikat kerajaan negeri dan Felcra, menjual sawit di pusat timbang dan kilang mereka sendiri manakala pekebun kecil pula menjual sawit di dua pusat timbang di Pulau Tawar di sini sejak sekian lama.
Justeru peneroka mengadakan demonstrasi aman bagi membantah kewujudan pusat timbang tersebut yang dibimbangi menjadi tempat penjualan sawit yang dicuri. – KOSMO! ONLINE