KUALA SELANGOR – Mayat seorang lelaki warga tempatan ditemui di kawasan tepi longkang Taman Industri Alam Jaya, Puncak Alam di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima laporan polis, kira-kira pukul 8.25 malam.
Jelas beliau, pemeriksaan menemukan mayat lelaki berusia 38 tahun di atas rumput tepi longkang tersebut.
“Hasil pemeriksaan lanjut polis mendapati tiada sebarang kecederaan fizikal pada si mati. Selain itu, tiada apa-apa kesan yang boleh dikaitkan dengan perlakuan jenayah,” katanya hari ini.
Tambah Azaharudin, mayat lelaki itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Tanjong Karang bagi bedah siasat dan mengenalpasti punca kematian.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tampil menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32891222 atau balai polis berdekatan. – KOSMO! ONLINE