GEORGE TOWN – Seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah menengah di Jelutong, di sini ditemui maut semalam dipercayai terjatuh dari tingkat lapan bangunan sekolah itu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Abdul Rozak Muhammad berkata, kira-kira pukul 5.57 petang semalam polis menerima laporan daripada pegawai perubatan Hospital Pulau Pinang mengenai kes kematian seorang pelajar terbabit.
“Siasatan pihak polis di tempat kejadian dan badan si mati mendapati tiada unsur jenayah dalam kes ini.
”Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan satu laporan mati mengejut telah dibuka untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini,” katanya di sini hari ini
Sehubungan dengan itu, katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini sehingga boleh menjejaskan siasatan pihak polis. – KOSMO! ONLINE